Tajaan politik, rasuah koporat diberikan fokus

Oleh Bernama dari Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Pasukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Anti Rasuah komited dalam usaha membantu Malaysia tersenarai dalam liga 30 kerajaan bebas rasuah di dunia, menjelang 2020.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 oleh Transparency International merangkumi 175 negara yang diumumkan bulan lepas, Malaysia memperbaiki kedudukannya apabila naik tiga anak tangga ke kedudukan 50 daripada kedudukan ke-53 pada 2013.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memuji pencapaian itu, turut menyuarakan harapan melihat Malaysia di kedudukan lebih baik dalam senarai itu serta muncul antara negara memiliki pentadbiran awam bebas rasuah di dunia.

Daripada usaha membersihkan pegawai awam peringkat atasan sehinggalah jenayah lebih besar, pelan antirasuah di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) berjalan lancar dan momentumnya mulai ketara berdasarkan bilangan kes rasuah yang dibongkar tahun lepas.

Namun, usaha yang dilakukan bukanlah semudah itu. Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala, ketika mengulas sejak pelaksanaan GTP pada 2010, turut mengakui banyak lagi yang perlu dilakukan.

Tahun ini, tegas Pengarah NKRA Anti-Rasuah, Ravindran Devagunam dalam wawancara dengan Bernama, usaha memerangi rasuah menyasarkan sektor korporat serta peraturan berkaitan penajaan atau pembiayaan politik akan menjadi keutamaan pasukan itu.

Inisiatif bagi mempercepatkan usaha memerangi rasuah itu adalah dengan memasukkan peruntukan baharu berkaitan Liabiliti Korporat dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dijangka dibentangkan di Parlimen, tahun ini.

“Peruntukan itu boleh mensabitkan syarikat dalam kes rasuah berkaitan,” kata Ravindran.

Mengikut peraturan sedia ada, hanya individu boleh disabitkan bagi perbuatan rasuah yang dilakukan di bawah syarikat berkenaan.

Ditanya sejauh mana realistik hasil CPI ke atas kes rasuah sebenar di sektor awam, Ravindran berkata: “Ia adalah indeks persepsi rasuah. Saya tidak katakan tiada langsung rasuah, tetapi isu rasuah itu lebih banyak dibincang dan dibangkitan di negara ini (yang berkemungkinan meningkatkan perbandingan tidak adil) dan turut dipolitikkan lebih banyak di Malaysia berbanding negara lain.”

Sementara itu, kalangan pelabur turut memberikan reaksi baik terhadap hasil CPI berkenaan.

“Ada kalangan syarikat dan pelabur yang menyuarakan keyakinan terhadap langkah memerangi rasuah ini.

“Biarpun ada di antara langkah itu sudah dilaksanakan bagi memerangi rasuah, sudah pasti ia memerlukan masa untuk melihat hasilnya. Malah, sudah wujud tekanan daripada orang ramai yang menandakan kita berada di landasan yang betul,” katanya.

Misalnya, langkah pembentangan Laporan Ketua Audit pada setiap persidangan Parlimen serta pembabitan media oleh pejabat Ketua Setiausaha Negara bagi isu yang dibangkitkan dalam laporan itu, turut menandakan peningkatan persepsi ketelusan dalam kerajaan.

Comments

Our Contributors