Malaysia bakal ditimpa bala Tuhan?

Oleh Mohd Azli Mohd Ali dari Sinar Harian

TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan ALLAH. Itu yang boleh dikatakan apabila melihat pelbagai musibah  berlaku di negara ini. Jika dahulu kita biasa diberitakan mengenai kejadian banjir dan ribut taufan berlaku di negara ini.

Tetapi kini  ditambah lagi kejadian luar jangkaan. Antaranya peristiwa tsunami, musim hujan sehingga banjir, kemarau berpanjangan dan baru-baru ini kejadian puting beliung menyebabkan banyak rumah musnah.

Persoalannya mengapa perkara seperti ini berlaku? Sedangkan keadaan Malaysia yang berada di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik selain keadaan geografi yang terletak di garisan khatulistiwa menghalang kepada pembentukan puting beliung dan taufan besar ini. Adakah ini bermakna negara kita bakal ditimpa bala daripada Tuhan sepertimana yang berlaku kepada kaum terdahulu?

Wartawan MOHD AZLI MOHD AlI bertemu Pensyarah dalam bahagian al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, DR MUHAMMAD LUKMAN IBRAHIM bagi mendapatkan jawapan mengenai persoalan ini.

Boleh Ustaz perjelaskan mengenai konsep bala’ dalam Islam?

Bala’ adalah satu perkataan umum digunakan masyarakat kita yang memberi makna satu ujian, satu peperiksaan dan seumpamanya. Dan dalam al-Quran, ALLAH SWT menggunakan perkataan bala’ ini merujuk kepada kebaikan dan kejahatan. Firman ALLAH: “…Kami uji mereka dengan kejahatan dan kebaikan sebagai satu ujian dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.” (Surah Al-Anbiya: 35)

Kata bala’ dalam al-Quran disebutkan di enam tempat dengan makna berbeza. Ada yang bermakna cubaan dan ujian yang dibenci manusia. Ada pula yang bererti kemenangan atau kenikmatan (bala’ al-hasan).

Bala’ al-hasan adalah satu ujian yang baik diberikan ALLAH kepada orang mukmin dengan sebab ujian tersebut mendekatkan lagi mereka kepada ALLAH. Kalimah bala’ al-hasan pada ayat ini juga turut dijelaskan dalam kitab Tafsir al-Jalalain yang dikarang oleh dua imam tafsir. Iaitu merujuk kepada ujian khusus untuk menguji keteguhan iman yang ada dalam diri orang mukmin.

Secara ringkasnya bala’ digunakan untuk kedua-duanya iaitu untuk kebaikan dan juga kejahatan. Walau bagaimanapun penggunaan dalam masyarakat kita orang Melayu khususnya, bala’ ini merujuk kepada kejahatan sahaja. Dan kefahaman seperti ini perlu dibetulkan.

Apakah yang menyebabkan terjadinya bala’ daripada ALLAH?

Bala’, apabila kita merujuk kepada perbincangan tadi iaitu bala’ yang bermaksud perkara kejahatan, maka dengan ini ia bermaksud perkara tidak baik yang ALLAH turunkan kepada manusia.

Sesungguhnya bala’ tidak akan diturunkan oleh ALLAH ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan.

Bala’ terjadi disebabkan kemurkaan ALLAH iaitu apabila manusia melakukan maksiat. Maka dengan sebab itu akan turun bala daripada-Nya. Misalnya dalam hadis riwayat imam at-Tarmizi menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila umat aku melakukan 15 perkara, maka halal bagi ALLAH menurunkan bala’. Dengan sebab melakukan 15 perkara ini secara berleluasa, maka ALLAH akan memberi bala kepada umat tersebut. Antara lain:

  1. Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.
  2. Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.
  3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
  4. Apabila suami terlalu mentaati isteri.
  5. Apabila anak menderhakai ibu bapa.
  6. Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
  7. Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.
  8. Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.
  9. Apabila pemimpin sesuatu kaum itu dihina oleh kaumnya sendiri.
  10. Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.
  11. Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.
  12. Apabila ramai lelaki memakai sutera.
  13. Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.
  14. Apabila wanita bermain alat muzik.
  15. Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

Maka, pada saat itu tunggulah bala’ yang akan menimpa dalam bentuk angin (puting beliung) dan gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman tidak menjadi.”

Ringkasnya apa yang boleh saya katakan bahawa bala’ ini terjadi disebabkan kemurkaan ALLAH dan yang lebih membimbangkan ialah apabila bala ini terjadi, ia tidaklah terjadi hanya kepada orang yang melakukan dosa tersebut, tetapi ia akan terkena kepada semua orang sama ada orang ini adalah dalam kalangan orang yang baik atau yang jahat.

Boleh Ustaz ceritakan sedikit mengenai sejarah Islam di mana ALLAH turunkan bala’ kepada kaum yang melakukan kemungkarannya.

Dalam al-Quran, ada kisah masyhur yang ALLAH ulang beberapa kali iaitu kisah kaum ‘Aad dan kaum Thamud. Kaum ‘Aad, ALLAH turunkan seorang rasul kepada mereka namanya Nabi Hud AS. Kaum Thamud pula diturunkan kepada mereka Nabi Salleh AS.

Kaum ‘Aad adalah satu contoh kaum yang ALLAH beri kehebatan. Mereka ada kekuatan tubuh badan yang begitu istimewa sehingga diceritakan dalam riwayat tafsir mereka mampu mencabut pokok dengan tangan mereka. Itu kekuatan mereka. Dengan sebab kekuatan seperti ini mereka ingkar kepada ALLAH dan tidak menuruti atau taat kepada rasul mereka. Akhirnya ALLAH hancurkan dan binasakan kaum mereka.

Begitu juga dengan kaum Thamud, mereka ini diberikan kehebatan dan kekuatan daripada sudut teknologi dan pembangunan yang hebat. Kalau kita lihat di zaman sekarang ini kita mampu membina rumah di atas bukit, tetapi kaum mereka (Thamud) mampu membina rumah di dalam bukit. Sehinggakan dalam al-Quran mencatatkan mereka adalah sebuah kaum yang mempunyai kemahiran memahat gunung-ganang untuk dijadikan kediaman mereka.

Ini kehebatan kaum Thamud. Mereka memahat bukit tersebut dan jadikannya sebagai rumah mereka. Tetapi akibat tidak taat kepada perintah rasul iaitu Nabi Salleh AS supaya beriman dan mentaati-Nya, mereka ini dibinasakan.

Kisah kaum Thamud ini ada dirakamkan di dalam Surah Al-A’raf ayat 73-78.

Apa yang boleh saya simpulkan berdasarkan kedua kisah ini, kita dapat lihat akibat daripada keegoan mereka yang ingkar kepada perintah ALLAH dan rasul, ALLAH datangkan ribut taufan, puting beliung dan seumpamanya yang akhirnya menghancurkan kedua kaum itu. Daripada golongan yang hebat ketamadunannya akhirnya mereka ditenggelamkan oleh ALLAH.

Baru-baru ini negara kita dilanda ribut yang amat dahsyat sehingga mencetuskan angin kencang dan puting beliung yang tidak pernah berlaku di sini. Sebelum itu, kita juga dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang masih belum dijumpai sehingga sekarang dan banyak lagi bencana yang berlaku di negara kita. Adakah ini bermakna negara kita sekarang ini menerima bala’ daripada-Nya?

Menjawab persoalan ini kita kena kembali kita kepada persoalan asas iaitu bala ini ada dua perkara iaitu bala’ yang dalam bentuk yang baik dan dalam bentuk yang tidak baik. Apabila ALLAH menurunkan sesuatu ujian seperti mana yang berlaku di negara kita baru-baru ini, memang pada asasnya kita kena kembali pada ayat ALLAH yang menyebutkan:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak mereka berasa sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Ruum: 41)

Jadi jika kita katakan perkara itu (bencana) disebabkan oleh dosa. Maka dosa tersebut perlu diminta ampun kepada-Nya. Kalaulah pada mulanya ALLAH menurunkan bala’ seperti itu dengan tujuan untuk mengingati manusia, maka akhirnya daripada bala’ yang kurang baik itu, akan memberi kepada kebaikan. Akhirnya dengan sebab bala seperti itu, mereka kembali merujuk kepada ALLAH.

Tetapi kalaulah bala’ yang diturunkan itu menyebabkan manusia tidak sedar juga, maka apa yang berlaku kepada kaum ‘Aad dan Thamud sebelum ini, boleh sahaja berlaku kepada umat hari ini. Sebabnya dalam syair Arab ada menyebutkan: “Sejarah pasti berulang”.

Walaupun nama bangsa kita berbeza, berbeza daripada pelbagai sudut, tetapi pada hakikatnya manusia tetap sama iaitu bertuhankan tuhan yang sama iaitu ALLAH dan perlu mentaati kepada perintah rasul yang diturunkan pada zaman mereka. Jadi dengan itu, kita tidak terlepas kepada perkara seperti itu.

Comments

Our Contributors