Mahalnya harga kelengkapan persekolahan

Oleh Mohd Hafiz Ismail dari Sinar Harian

SHAH ALAM – Tinggal seminggu sahaja lagi sebelum sesi persekolahan 2015 bermula dan pada masa ini, kebanyakan ibu bapa sedang sibuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.

Tinjauan Sinar Harian di pusat membeli belah sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakan ibu bapa mengambil peluang membeli kelengkapan persekolahan anak-anak mereka di saat-saat akhir kerana promosi serta potongan harga yang ditawarkan peniaga.

Namun apa yang mengejutkan, harga barangan kelengkapan sekolah didapati meningkat sebanyak 10 hingga 15 peratus berbanding tahun lalu.

Pakaian seragam sekolah menengah bagi pelajar perempuan adalah sekitar RM70, manakala bagi pelajar lelaki pula sekitar RM80.

Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM2 hingga RM5 berbanding akhir 2013.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya akan mula bertindak dan mengkaji untuk menggunakan harga kawalan terhadap kelengkapan sekolah bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berkenaan setiap kali musim baharu persekolahan.

Menurutnya, cadangan itu dikemukakan berikutan berlaku peningkatan harga barangan sekolah setiap kali menjelang musim persekolahan meskipun pengeluar sudah memberi jaminan dengan pihak kementerian untuk tidak menaikkan harga barangan.

Dengan cadangan kementerian itu, ibu bapa pasti dapat menarik nafas lega kerana campur tangan pihak kerajaan bakal meringankan beban yang ditanggung mereka.

Sehingga cadangan itu menjadi kenyataan, ibu bapa perlu membuat pilihan bijak untuk meminimumkan kos kelengkapan pakaian sekolah setiap tahun.

Ibu bapa bijak memilih

Setakat ini, kepelbagaian jenama dan kualiti kelengkapan sekolah di pasaran membolehkan ibu bapa membuat pilihan terbaik di samping dapat menjimatkan kos perbelanjaan.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui didapati tidak mementingkan jenama pakaian sebaliknya menilai ketahanan pakaian tersebut.

Seorang bapa, Mohd Nasir Khalil, 40, ketika ditemui berkata,  jenama sahaja tidak memadai sekiranya pakaian sekolah yang dibeli cepat rosak.

“Mengikut pengalaman, bukan semua barangan berjenama itu berkualiti kerana saya pernah membelinya dan tidak sampai setahun, bajunya telah rosak.

“Setiap tahun, saya cuma membeli kelengkapan sekolah dengan harga berpatutan tetapi tahan sehingga hujung tahun,” katanya.

Pekerja swasta, M Sani Mohammed, 37, pula berkata, beliau lebih gemar membeli kelengkapan sekolah di kedai yang terbukti menyediakan barangan berkualiti.

“Sebagai ibu bapa kita perlu peka terhadap keselesaan anak-anak sewaktu mereka di sekolah kerana ia banyak mempengaruhi konsentrasi mereka di dalam kelas.

“Kebiasaannya saya akan sediakan tiga pasang pakaian seragam untuk anak saya setiap tahun dan akan menambahnya mengikut keadaan pakaian,” katanya.

Bagi suri rumah, Jamaliah Jamaluddin, 45, setiap tahun beliau akan membelanjakan sekitar RM200 bagi setiap seorang anaknya untuk kelengkapan sekolah.

“Jika ada pakaian tahun lepas yang elok saya rasa tidak salah untuk anak-anak saya pakai dan ini adalah satu langkah bijak mengelakkan pembaziran.

“Tetapi untuk hari pertama persekolahan, saya rasa elok jika mereka pakai pakaian baharu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Razaki Abdullah, 45, berkata, beliau memilih kelengkapan sekolah berjenama kerana kualitinya yang tinggi.

“Baju dan seluar anak-anak akan dibasuh setiap kali selepas mereka pakai, jadi terbukti pakaian berjenama ini tidak lusuh walaupun dibasuh dengan kerap.

“Saya tidak kisah berbelanja lebih, asalkan anak saya selesa sepanjang waktu persekolahannya,” katanya.

Pendapat sama dikongsi suri rumah, Nooriah Wahiduddin, 60, yang lebih suka membeli kelengkapan sekolah berjenama dan berkualiti semenjak anak-anaknya bersekolah lagi.

“Ini kerana saya yakin dengan kualiti kain jenama. Sekarang cucu-cucu saya pula yang memakai baju sekolah berjenama dan berkualiti,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan di saat-saat akhir untuk membeli kelengkapan persekolahan buat cucunya kerana promosi serta potongan harga yang ditawarkan oleh peniaga.

Comments

Our Contributors