Bahagian Pinjaman Perumahan akan dikeluarkan daripada Perbendaharaan

Oleh M Hifzuddin Ikhsan dari Berita Harian

KUALA LUMPUR: Rang undang-undang baharu bagi menaik taraf status Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) kepada lembaga dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata BPP yang berfungsi sebagai agensi memberi pinjaman kepada kakitangan awam bakal dikeluarkan daripada Perbendaharaan Negara dan beroperasi secara bebas.

“Pada Sidang Dewan Rakyat kali ini, Kementerian Kewangan akan (bentangkan) rang undang-undang bagi menjadikan BPP sebagai lembaga, setaraf Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang ada struktur pentadbiran sendiri, sekali gus boleh bergerak sendiri tanpa terlalu bergantung kepada Perbendaharaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BH selepas Mesyuarat Prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Parlimen, malam tadi.

Difahamkan, lima rang undang-undang baharu akan dibentangkan pada persidangan sesi ini, termasuk undang-undang tambahan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi menambah berat hukuman kepada pesalah dan pengedar dadah.

Mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Ahmad berkata, beliau akan memberi maklumat terkini mengenai perkara itu kepada semua Ahli Parlimen pada persidangan kali ini.

Comments

Our Contributors