Antara Gapi tawar 54 unit kediaman eksklusif Cassia

Sumber: myMetro

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus menerajui projek hartanah meliputi kediaman dan perniagaan mampu milik bagi memberi peluang kepada orang awam serta usahawan memiliki hartanah berikutan kenaikan harga hartanah sejak beberapa tahun lalu.

Pengurus Pemasarannya Mohd Wazir Abdul Gani berkata, situasi itu menjadi kekangan dan membuatkan mereka mencari lokasi sesuai bagi kediaman atau meluaskan perniagaan masing-masing.

“PKNS mengenalpasti keperluan pembeli rumah dan komuniti perniagaan, oleh itu kami membangunkan hartanah mampu milik di lokasi berdekatan pusat bandar tanpa meminggirkan kawasan di pinggir negeri,” katanya dalam kenyataannya.

Beliau berkata, projek pembinaan itu ditawarkan pada harga menarik dan dipakejkan dengan ciri inovasi khusus untuk pembeli hartanah, sekali gus memastikan mereka mendapat nilai terbaik bagi setiap kos yang dilaburkan.

Menurutnya, pembangunan terkini ialah perbandaran Antara Gapi di Rawang yang tidak asing lagi di kalangan pembeli rumah dan pelabur hartanah kerana ia mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu.

Projek yang terletak 45 kilometer dari Kuala Lumpur dan 13 kilometer dari bandar Rawang itu meraih maklum balas baik daripada pasaran kerana reputasi baik dan konsisten PKNS meneruskan pembangunan di wilayah utara Selangor.

“Melalui projek ini, PKNS melancarkan pembangunan pusat komersial dikenali Gapi Avenue dibahagikan kepada tiga fasa dan setiap fasa menampilkan seni bina tersendiri dengan reka bentuk kontemporari serta praktikal daripada aspek susun atur ruang dan dianggap pelaburan luar biasa dengan potensi pulangan tinggi,” katanya.

Antara Gapi turut membuka untuk tempahan kediaman eksklusif Semi-D moden dikenali Cassia berkeluasan 40 x 80 kaki membabitkan 54 unit yang menampilkan konsep kontemporari vernakular yang memenuhi citarasa semasa.

Beliau berkata, reka bentuk kediaman itu mengoptimumkan penggunaan ruang dalaman dan luaran dengan memastikan aliran udara serta cahaya di seluruh kediaman.

PKNS menawarkan dua pembangunan komersial utama di dua perbandaran berbeza iaitu Taman Perindustrian Zurah di Rasa dan Bandar Sultan Suleiman di Pelabuhan Klang dikenali sebagai I: Zone.

Projek ini menawarkan reka bentuk kontemporari luas, praktikal dan moden yang menjadi penyelesaian ideal untuk pelbagai tujuan seperti kilang, penyimpanan dan gudang serta pengedaran.

Mohd Wazir berkata, I: Zone Taman Perindustrian Zurah @ Rasa dilancarkan Jun tahun lalu yang menawarkan 10 unit kilang satu setengah tingkat Semi-D serta direka untuk menjadi hab utama di Klang Utara dalam sektor pembuatan dan industri halal.

“Projek ini memacu pertumbuhan Bandar Sultan Suleiman sebagai lokasi perniagaan selesa ditambah kedudukannya hampir pintu masuk utama ke Semenanjung Malaysia iaitu Northport yang terletak 3.7 kilometer dari kawasan perindustrian ini,” katanya sambil menambah untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web www.pkns-property.com.

PROJEK perumahan Semi-D Cassia di Antara Gapi yang akan dilancarkan pada tahun ini.

 

Comments

Our Contributors